07/11/2024
Kejam betul
KENINGAU: Polis menahan seorang mekanik selepas video tular menunjukkan tindakannya memukul seekor anjing hingga mati menggunakan batang besi, mencetuskan kemarahan masyarakat di media sosial.
Suspek, lelaki berusia 39 tahun, ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau di sebuah bengkel di Kampung Patikang, semalam. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata penahanan dibuat selepas menerima laporan daripada seorang kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Keningau.
“Hasil siasatan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek yang bekerja sebagai mekanik. Suspek juga mengaku sebagai individu yang dirakam dalam kejadian tersebut," katanya. Video yang dirakam oleh rakan sekerja suspek pada 24 Oktober lalu di bengkel itu menunjukkan suspek memukul anjing berulang kali tanpa belas kasihan, sambil seorang individu lain merekod sambil ketawa.
Superintendan Yampil berkata, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Keningau pagi tadi, dan mahkamah membenarkan perintah tahanan reman sehingga 9 November untuk siasatan lanjut.
"Usaha mengesan saksi-saksi lain ketika kejadian masih diteruskan," tambahnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau mencederakan haiwan secara sengaja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan media sosial.
Insiden ini mengundang kecaman netizen yang mengecam tindakan kejam suspek terhadap haiwan yang tidak berdaya.
Sumber : Info X